Siaran Akhbar
Isu Penganjuran Black Metal

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) menafi dengan sekeras-kerasnya pembabitan persatuan ini dalam penganjuran Pesta Black Metal di Dewan Persatuan Masyarakat Ceylon, Seremban seperti yang telah dilaporkan dalam akhbar Harian Metro pada Isnin, 5 Disember 2005. Laporan polis telah dibuat di Seremban pada hari yang sama.

2. Ianya sangat bertentangan dengan prinsip dan matlamat perjuangan Silat Cekak yang telah diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad semenjak 28 Disember 1965 sehinggalah kehari ini dimana Presiden merangkap Guru Utama adalah YM Tuan Haji Ishak bin Itam.

3. Sesungguhnya terdapat motif serta niat yang jahat disamping menipu pihak berkuasa dalam mencemar dan menjejaskan nama baik PSSCM yang selama ini mempunyai jalinan hubungan yang baik dengan semua kementerian serta agensi kerajaan samada di peringkat persekutuan atau negeri dalam menjayakan apa juga program yang dianjurkan.

4. Sebagai sebuah badan NGO yang mempertahan dan ingin mendaulatkan warisan seni kebangsaan, PSSCM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak khususnya dengan pihak kerajaan terutama dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan supaya para remaja dan generasi belia mempunyai jatidiri yang mantap dalam menghadapi suasana yang semakin mencabar.

5. Adalah menjadi harapan agar seni silat juga akan memainkan peranan yang penting sebagai "agent of change" dalam membentuk keperibadian (character building) selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melahirkan "the towering personality".

6. Namun, dengan tersiarnya berita yang sedemikian, maka usaha murni dan prinsip yang disemai terutama kami di dalam PSSCM selama 40 tahun ini telah tercalar dalam sekelip mata. Ianya sangat memberi kesan kepada hampir 70,000 ahli PSSCM dan para pencinta seni silat di seluruh tanah air amnya.

7. Selain itu, ia akan turut menjejaskan kepercayaan umum terutama para ibubapa memandangkan seni mempertahankan diri sangat popular di kalangan pelajar samaada di sekolah, kolej, maktab serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

8. PSSCM sedang merayakan Sambutan 40 Tahun Jubli Delima Silat Cekak bertemakan "Keaslian Budaya Membina Bangsa" yang telah dirasmikan pada 18 Jun 2005 yang lalu oleh YB Dato' Seri Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg Tan Sri Dato' Seri Haji Muhammad Hj Muhd. Taib, Presiden PESAKA. Perayaan selama setahun ini akan berakhir pada Jun 2006 dan akan disempurnakan penutupannya oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perak Darul Ridzuan.

9. PSSCM kini mempunyai 145 buah kelas latihan di seluruh negara termasuk di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah, kolej dan maktab.

Sekian, wassalam.

WAN MOHD AZLAN BIN WAN MOHD HUSSAIN
Ketua Penerangan
Merangkap Pegawai Perhubungan Awam PSSCM
H/P: 019-3825434 Fax:03-26912327
Tarikh: 6 Disember 2005

Hak Cipta Terpelihara PSSCM 2000-2004